Friday, October 31, 2014

GST ( Goods and Services Tax ): Sistem Cukai Paling Telus

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan keatas barangan dan perkhidmatan pada tahap perniagaan.
Ia adalah satu sistem cukai yang lebih baik kerana lebih berkesan, telus dan mesra perniagaan serta dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan daya saing dalam pasaran global.
Berikut adalah soalan lazim berkaitan dengan maksud dan pelaksanaan GST bersama dengan Pengarah GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy yang sudi berkongsi maklumat.

Memandangkan pelaksanaan GST semakin dengan tempoh hanya enam bulan je, banyak usaha dilakukan pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran berkaitan sistem cukai ini. Bagaimana penguatkuasaan GST akan mengubah keadaan untuk perniagaan dan perusahaan?
Pelaksanaan GST akan memberikan kesan positif terhadap kewangan negara. Ia adalah satu sistem cukai yang paling telus bertujuan menangani kecacatan struktur dalam sistem cukai semasa yang dilaksanakan ketika ini.
Ini dijangka menjadi titik perubahan dalam sektor perniagaan dengan impak yang besar kepada ekosistem yang mereka amalkan buat masa ini.
Ia juga dijangka mengubah cara mereka mengendalikan perniagaan termasuk bagaimana menangani pelanggan, pembekal dan bagaimana mereka berurusan dengan pegawai kerajaan.
GST juga akan menukar prospek perniagaan mereka kerana ia adalah cukai penggunaan pelbagai peringkat yang dikenakan pada setiap peringkat dalam rangkaian pengedaran dan bekalan.
Dalam kebanyakkan kes, perniagaan akan menjadi lebih baik di bawah GST berbanding SST kerana mereka boleh menuntut cukai yang dikenakan (input tax) yang memberi mereka peluang mereka melakukan penjimatan.

Mengapa kerajaan menetapkan syarikat untuk mendaftar sebelum 31 Disember ini sedangkan pelaksanaan GST hanya akan dikuatkuasakan pada 1 April 2015?
Persiapan awal untuk perniagaan adalah faktor kritikal dalam kejayaan pelaksanaan GST. Jika syarikat tidak mendapat maklumat yang tepat, ia akan menimbulkan masalah yang secara tidak langsung memberi kesan kepada perniagaan mereka. 
kerana itu kerajaan mewajibkan semua perniagaan dibawah 19 sektor dan industri untuk mendaftar sebelum akhir tahun 2014 bagi memastikan proses peralihan dapat dilakukan dengan lancar.
Selain itu, kastam juga mengendalikan program bimbingan GST untuk membantu syarikat memahami bagaimana cukai itu dilaksanakan dan apa yang mereka perlu lakukan untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar menjelang 1 April 2015.
Syarikat yang layak di bawah GST mesti mendaftar sebelum 31 Disember 2014 dan jika mereka gagal, kami akan membuat pendaftaran secara automatik untuk pihak mereka.
Namun, ia secara tidak langsung menjadikan mereka melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan dan perlu membayar denda lewat pendaftaran tidak kurang daripada RM1,500.00 untuk 30 hari dan tidak melebihi RM20,000.00 bagi tempoh lebih daripada 360 hari seperti yang ditetapkan dalam Akta GST 2014, Seksyen 21 (5).
Kami berharap pemilik syarikat akan peka dengan tarikh ini supaya tidak perlu berdepan dengan denda yang dikenakan.

Setakat ini, bagaimana sambutan dalam kalangan perniagaan terhadap pendaftaran dalam kempen MyGST?
Setakat ini 110,122 syarikat sudah mendaftar dalam kempen ini yang terdiri daripada syarikat di bawah 19 industri. Namun jumlah berkenaan hanya mewakili 28% daripada lebih 300,000 syarikat yang sepatutnya mendaftar dalam kempen ini untuk pelaksanaan GST.
Kami menerima antara 2,000 dan 3,000 pendaftaran baru setiap hari dan jumlah berkenaan terus meningkat khususnya selepas pembentangan bajet 2015.
Syarikat yang mencatat jualan melebihi RM500,000 setahun perlu mendaftar untuk GST dan syarikat yang mencatat jualan kurang dari jumlah berkenaan digalakkan untuk mendaftar.
Jumlah RM500,000 yang ditetapkan itu adalah tinggi berbanding beberapa negara lain yang sudah melaksanakan GST seperti Kanada, New Zealand atau United kingdom. Had bagi Thailand melebihi RM180,000 dan RM140,000 di Filipina. Berbeza di China di mana jumlah yang ditetapkan adalah antara RM2,600 dan RM10,000.
Had ini ditetapkan bagi melindungi syarikat PKS supaya mereka tidak perlu menanggung kos pematuhan. 
Oleh itu, pengguna boleh membuat pembelian keperluan asas daripada pernigaan yang tidak mengenakan GST. Ini juga secara tidak langsung memberi manfaat kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar di mana mereka tidak akan dibebankan dengan GST.

Ada tanggapan mengatakan bahawa GST akan menyebabkan pengguna perlu membayar harga lebih tinggi. Adakah keadaan sama akan berlaku dalam perniagaan?
GST bukan kos kepada pernigaan. Selain dari kos pematuhan awal, syarikat tidak perlu bimbang untuk mengambil kerani akaun setiap bulan bagi menfailkan cukai mereka. Setiap transaksi akan dikesan melalui Point-of-sales (POS), di mana pernigaan tidak perlu secara manual memfailkan cukai mereka.
Malah, fail cukai mereka menjadi lebih mudah dan cepat kerana ia disepadukan dalam sistem POS. Mereka tidak perlu sentiasa memerlukan perkhidmatan kerani perakaunan yang akan menambah kepada kos tahunan mereka.

Apakah langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan perniagaan dapat menampung kos tambahan untuk pelaksanaan GST?
Sejak pembentangan bajet 2014, kerajaan sudah mengumumkan langkah untuk membantu perniagaan mengurangkan kos pematuhan dalam rangka pelaksanaan GST.
Kerajaan juga sudah mengurangkan cukai pendapatan korporat dan cukai pendapatan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikurangkan satu mata kepada 19% bermula awal 2016.
Perbelanjaan untuk latihan dalam bidang perakaunan dan ICT yang berkaitan dengan GST juga diberikan potongan cukai. Ia bermula pada tahun ini dan potongan ini akan berterusan sehingga tahun depan.
Mulai tahun depan, yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai juga akan dapat dikurangkan cukai masing-masing pada jumlah RM10,000 dan RM5,000.
Ini adalah antara beberapa insentif berasaskan cukai yang disediakan untuk menggalakkan perniagaan untuk mendaftar di bawah GST.

Selain daripada insentif berasaskan cukai, apakah langkah yang diambil kerajaan untuk menggalakkan pendaftaran perniagaan?
Kerajaan juga sudah mengumumkan beberapa insentif bukan cukai untuk menarik perniagaan. Kami memahami bahawa dalam proses peralihan daripada sistem semasa, mereka mungkin memerlukan bantuan dalam bentuk selain pelepasan cukai.
Kerajaan menyediakan bantuan RM1,000 bagi perniagaan untuk membeli perisian perakaunan GST termasuk sistem POS.
Banyak perniagaan masih menggunakan mesin daftar tunai yang mudah namun ia tidak sesuai untuk pelaksanaan GST. Sistem POS membolehkan perniagaan dengan mudah memgkategorikan barang-barang yang dikenakan cukai, berkadar sifar atau dikecualikan daripada cukai.
Kerajaan turut memperkenalkan Elaun Modal Dipercepatkan bagi membantu perniagaan menanggung kos pembelian peralatan dan perisian ICT sehingga 2016.
Sejumlah RM150 juta sudah diperuntukkan kepada PKS untuk membeli perisian perakaunan. Satu lagi geran latihan RM100 juta diperuntukkan untuk syarikat untuk menghantar pekerja mereka untuk latihan GST.


"Perniagaan akan menjadi lebih baik di bawah GST berbanding SST kerana mereka boleh menuntut cukai yang dikenakan (input tax) yang memberi peluang mereka melakukan penjimatan"
Subromaniam Tholasy